Wednesday, 24 June 2020

KEBUDAYAAN ZAMAN MEGALITIK 

   
   Istilah megalitik dikatakan berasal daripada perkataan yunani kuno iaitu Mega (besar) dan juga Lith (batu). Jadi disini kita dapat simpulkan bahawa zaman megalitik merupakan zaman batu besar yang berlaku selepas zaman neolitik sekitar tahun 2,500-1,500 tahun yang lalu. Tambahan lagi, dikatakan juga kebanyakkan batu yang dibentuk pada zaman megalitik biasanya diperbuat daripada susunan batu monolit atau endesit yang mempunyai saiz yang besar sepertimana batu menhir dan dolmen. 

   Kebudayaan peradaban megalitik ini dikatakan turut disebut sebagai kebudayaan 'Batu Hidup' kerana atas kepercayaan masyarakat kuno bahawa batu bersaiz besar mempunyai roh dan semangatnya yang tersendiri yang perlu dipuja untuk menjamin keberkatan dan keharmonian hidup. Kebudayaan megalitik secara asasnya telah bermula pada akhir zaman neolitik tetapi pelaksanaan dan pembinaan peradaban megalitik ini dikatakan berkembang pesat semasa tempoh zaman logam. Dalam penulisan blog ini, saya akan menceritakan serba sedikit berkaitan zaman megalitik yang berlaku di kawasan Asia Tenggara. 

    Kawasan arkeologi megalitik di Asia Tenggara biasanya terdapat di kawasan Bali, Luzon, Utara Thailand, Myanmar, Jawa, Sumatera, Filipina, Utara Borneo, Sulawesi dan juga di sekitar semenajung Malaysia terutamanya yang terletak di Perak, Melaka dan Negeri Sembilan. Menurut I Made Sutaba (1992), penyebaran dan pengamalan kebudayaan megalitik dikatakan masih wujud dalam kalangan masyarakat moden tetapi ia telah diubahsuai mengikut peredaran zaman. Malah dikatakan juga bahawa kebudayaan megalitik pada dahulunya bukan sahaja datang dari luar malah kebudayaan tersebut turut mewarnai kehidupan masyarakat tempatan itu sendiri. Manakala mengikut pandangan ahli arkeologi Barat seperti Robert (1973) pula berpendapat bahawa kebudayaan megalitik dikatakan dibawa dan disebarkan oleh golongan petani yang berhijrah daripada kawasan Timur Tengah sekitar tahun 6000 SM. 



SENARAI JENIS MEGALITH DUNIA 

1) Menhir
2) Stonehenge
3) Kubur megalith
4) Kubur bilik (Burial Chamber)
5) Dolmen
6) Kubur berlorong
7) Batu berukir
8) Lingkaran batu
9) Passage grave
10) Alignment
11) Avenues

JENIS-JENIS MEGALITH YANG TERDAPAT DI ASIA TENGGARA 

1) Menhir
2) Dolmen
3) Keranda batu
4) Arca batu
5) Alignment
6) Aveneus
7) Kubur kepingan batu (Slab Grave)
8) Lumping batu
9) Altar batu
10) Kalimba
11) Tiang batu
12) Batu dakon
13) Batu bergores waruga


PERIODISASI 

Dari sudut periodisasi atau tempoh pembahagian zaman megalitik, dikatakan bahawa zaman megalitik secara umumnya terbahagi kepada dua tahap yang berbeza. Tahap pertama berlaku sekitar tahun (2,500-1500 SM) yang memperlihatkan zaman megalitik menerusi penggunaan batu jenis menhir, dolmen dan sebagainya. Manakala zaman megalitik tahap kedua pula bermula sekitar tahun (1,500-1000 SM) dan pada waktu ini zaman megalitik digelar sebagai zaman Megalitik Muda kerana pada waktu ini masyarakat mula menggunakan batu yang bersaiz sederhana besar, memasukkan unsur-unsur ukiran tertentu yang seterusnya membawa penemuan kepada unsur gangsa dan besi yang akhirnya membawa kepada permulaan zaman gangsa bagi peradaban dunia. 


MEGALITIK DI SEMENANJUNG TANAH MELAYU 

   Secara umumnya megalitik telah bermula sejak seawal zaman neolitik tetapi situasinya dilihat berlainan jika dibandingkan dengan zaman megalitik di Malaysia. Hal ini kerana zaman megalitik di Malaysia dikatakan dapat direkod hanya pada zaman logam sahaja. Hal ini demikian kerana, mengikut pengkajian yang telah dilakukan oleh I.H.N Evans dan Leong Sau Heng di kawasan megalitik Lembah Bernam negeri Perak, mereka berdua telah mengenalpasti tapak megalitik tersebut berusia 500 SM. Tapak megalitik yang terdapat di negeri Perak terutamanya sekali di Lembah Bernam, Slim River, Sungkai dan Sungai Kruit misalnya telah menunjukkan jenis kebudayaan megalitik yang bercorak 'Cist Grave'  atau lebih dikenali sebagai 'Slab Built Grave'  telah menjadi bukti kebudayaan megalitik yang terdapat di Perak. Megalitik jenis 'Slab Built Grave ' dikatakan sangat terkenal di Perak dimana binaan batu tersebut biasanya akan digunakan sebagai kubur masyarakat kuno dan ia juga berkaitan dengan konsep kehidupan selepas mati kerana penyelidikan arkeologi telah menjumpai barangan perhiasan harian seperti manik kaca, besi bersoket, pecahan tembikar tanah dan sebagainya. 'Slab Grave' yang diguanakan oleh masyarakat di Perak adalah berasal daripada batuan jenis granite. Batuan megalitik jenis 'Slab Grave'  merupakan satu bentuk susunan batu perkuburan secara bertingkat seakan-akan kubu atau cengkerang kura-kura dan dikatakan juga setelah kajian dilakukan oleh Evans, beliau telah melihat bahawa struktur 'Slab Grave Built' dikatakan tidak mengandungi sebarang bentuk rangka tulang manusia pra-sejarah yang telah dikebumikan dan ia secara tidak langsung telah menimbulkan persoalan sekiranya rangka manusia tersebut telah mereput ke dalam tanah.



Gambar 1 : Contoh Slab Grave yang disimpan di muzium negeri Perak 


     Tambahan lagi, selain daripada tapak megalitik di negeri Perak, terdapat juga tapak megalitik di negeri lain seperti di Melaka dan juga di Negeri Sembilan. Jenis batu megalitik yang terdapat di kedua-dua buah negeri tersebut adalah batu yang berasal daripada jenis alignment, berpasangan dan juga menhir. Shepard (1926) dikatakan telah bertindak untuk memetakan sebanyak 30 tapak megalitik yang telah dijumpai di Kuala Pilah (Negeri Sembilan) dan juga di Alor Gajah (Melaka). Contohnya tapak megalitik di Negeri Sembilan dapat juga ditemui di daerah Rembau, Jelebu, Kuala Pilah dan Tampin. Manakala, tapak megalitik di Melaka pula dapat dilihat seperti yang terdapat di kawasan daerah Alor Gajah iaitu di Kampung Taboh Naning, Cerana Putih,Pulau Sebang, Simpang Empat, Tanjung Rimau, dan terdapat juga di daerah Jasin. Terdapat juga pendapat dan pandangan yang mengatakan bahawa zaman megalitik di Negeri Sembilan berlaku pada dua tahap iaitu tahap pertama adalah bermula sejak awal abad Masihi dan ciri-ciri batu pula dikatakan lebih kasar dan tidak terdapat kepelbagaian corak hiasan. Manakala, tahap kedua pula dilihat menerusi peranan yang dimainkan oleh golongan penghijrah daripada minagkabau yang mengamalkan adat pepatih dan kedatangan mereka ke Melaka dan Negeri Sembilan dapat dikesan pada kurun abad ke-15. Hal ini dibuktikan menerusi jumpaan batu megalitik di Minangkabau yang dilihat sama dengan yang terdapat di Negeri Sembilan dan juga Melaka. Malah dikatakan juga bahawa, kebudayaan megalitik yang berasal daripada Pagar Ruyung dan Minagkabau ini juga telah digunakan dalam pelbagai upacara keagamaan dan batu-batu besar yang dibina juga turut diukir dengan kemas supaya ia dapat menjadi simbol yang melambangkan identiti sesebuah keluarga yang telah menetap di sesebuah kawasan petempatan di Negeri Sembilan mahupun di Melaka. Mengikut Harrison (1962), beliau telah melihat jumpaan batu Megalitik yang terdapat di Negeri Sembilan seakan-akan mempunyai semangat atau roh dan hal ini menyebabkan beliau melihat batu Megalitik di Negeri Sembilan sebagai batu hidup. Antara contoh tapak megalitik yang terkenal di Negeri Sembilan ialah tapak arkeologi Pengkalan Kempas yang dianggarkan bertarikh sekitar abad ke 14 hinggga 15 Masihi. Batu megalitik di Pengkalan Kempas dikatakan berasal daripada bentuk pemakaman kubur Syeikh Ahmad Majnun yang tercatat tarikh kematian sekitar 1467 tahun yang lalu.



Mohd Faiz bin Abdul Manan: Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas

Gambar 2 : Perkarangan Kubur Syeikh Ahmad Majnun di Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan 



     Di samping batu megalitik yang dijumpai di Semenanjung Malaysia, batu megalitik juga turut dijumpai di Sarawak dan Sabah. Jumpaan batu megalitik di Sarawak secara umumnya dapat dikaitkan dengan kebudayaan masyarakat Kelabit Tanah Tinggi Sarawak. Harrison (1973) menganggap zaman megalitik di Sarawak telah bermula sejak zaman pra-sejarah sehinggalah ke tahun 1950-an. Antara jenis batu megalitik yang dijumpai di Sarawak adalah daripada jenis menhir, batu berukir, dolmen, timbunan batu besar, tanah perkuburan, tapak kubur dengan pengebumian tembikar China dan perkuburan batu lubang. Contohnya Batu Narit (batu ukiran) daripada pelbagai bentuk telah digunakan oleh kaum Kelabit untuk menonjolkan identiti mereka sebagai kaum yang kuat, perkasa dan mempunyai kebolehan ajaib. Manakala batu megalitik yang dijumpai di Sabah pula dapat dikaitkan dengan masyarakat Kadazandusun dan ianya batu megalitik tersebut adalah dari jenis batuan menhir, dolmen dan juga Avenues.


Malaysia Megalithic Portal: Batu Ritong, Sarawak

Gambar 3 : contoh penemuan batu megalitik Batu Ritong, Sarawak 




JENIS BATU MEGALITIK

1) Menhir 

- Menhir atau batu tegak merupakan batuan megalith yang didirikan dalam posisi menegak seperti tugu. Menhir juga kadang kala berbentuk blok batu besar yang didirikan ke atas dan ia juga kadang-kadang terdiri daripada tugu batu tunggal. Batu jenis Menhir biasanya digunakan untuk upacara kegamaan sebagai menghormati roh nenek moyang. Manakala berat sebuah batu juga telah dianggarkan beratus tan dan mempunyai ketinggian sekitar 70 kaki tinggi. Menhir juga diperbuat daripada blok batu granit yang disusun secara berbaris lurus, melengkung dan ada juga berbentuk bulatan, Batu menhir juga dikatakan diperbuat daripada batu yang berasal dari kawasan kaki gunung atau mana-mana sungai yang mempunyai bongkah batu yang besar.

Batuan Menhir juga dapat dibahagikan kepada beberapa jenis seperti :

1) Menhir tunggal - biasanya ia boleh ditemui di pinggir jalan, halaman rumah, di tempat-tempat acara pemujaan dan juga di kawasan perbatasan.

2) Menhir berpasangan - ia disusun secara berpasangan dalam satu barisan lurus dari utara ke selatan atau dari timur ke barat. Kebanyakan batuan ini  didirikan di kawasan perkuburan purba atau di kawasan timbunan tanah. 

3) Menhir berkelompok - ia sering ditemui di kawasan upacara pemujaan. 

4) Menhir berukir - ia biasanya terdiri daripada batu yang telah dipahat atau diukir dengan bentuk atau imej tertentu, Dikatakan menhir berukir ini banyak digunakan untuk mengukir simbol nenek moyang yang akan digunakan dalam setiap upacara penyembahan. 


Indonesia Tourism Forum, Where You Can Find Any Information About Indonesia

Gambar 4 : contoh Batu Menhir yang terdapat di Indonesia 



2) Dolmen 

- Dolmen merupakan blok batu yang disusun membentuk seakan-akan meja dan ianya digunakan dalam upacara penyembahan roh nenek moyang. Hal ini kerana, terdapat dolmen yang berbentuk peti yang menyimpan tulang dan abu nenek moyang, Ciri utama yang membuatkan batu jenis dolmen terkenal kerana ia didirikan dengan meletakkan sekeping batu yang berbentuk rata di atas dua bongkah batu yang didirkan secara menegak. Jenis batu megalitik dolmen ini banyak dijumpai di kepulauan Asia Tenggara, Pulau Nias (indonesia) dan pulau Assam (india). Batu jenis dolmen ini pada kebiasaannya akan digunakan sebagai tempat meletakkan hidangan atau sajian semasa upacara penyembahan nenek moyang dilakukan dan kawasan di bawah dolmen pula pada kebiasaanya akan digunakan sebagai tempat pengebumian.



Makam Portal Dolmen - Foto gratis di Pixabay

Gambar 5 : contoh batu Dolmen yang mneyerupai meja makan 



3) Kubur Kepingan Batu 

- Kubur Kepingan Batu juga boleh disebut sebagai Slab Grave yang digunakan dalam setiap proses pengebumian mayat. Bahagian dasar atau lantai akan diperbuat daripada Batu granit. Manakala bahagian dindingnya pula akan disusun secara bertindih dengan batu granit seacar menegak. Tambahan juga beberapa keping kepingan batu juga turut diletakkan di atas dinding batu sehingga mebentuk seakan-akan sebuah keranda batu. Struktur fizikal kubur kepingan batu juga dikatakan berbentuk sebuah peti batu yang dibentuk daripada enam buah papan batu, dua sisi panjang, dua sisi lebar dan sebuah lantai batu dan sebuah penutup besi.


Kubur Batu Kepingan | cheuleng | Flickr

Gambar 6 : contoh  Slab Grave yang dihasilkan pada zaman megalitik 



4) Tempayan Batu 

- Tempayan batu merupakan jenis batu megalitik yang berbentuk tempayan tetapi ia diperbuat daripada batu. Permukaan mulut tempayan batu biasanya tidak besar sepertimana keseluruhan badannya yang bersaiz besar. Purata saiz biasanya berukuran 1,5 meter tinggi dan mempunyai diameter yang sama diikuti dengan ketinggian batu yang boleh mencecah 3 meter. Batu megalitik jenis tempayan batu telah banyak ditemui di negara Vietnam dan juga Laos. Contohnya, di Laos tempat jumpaan tempayan batu telah dijumpai dan antara jumpaan tempayan batu yang penting adalah seperti tempayan "Plain Jar". Tempayan batu megalitik  di Laos dijumpai bertaburan di sekitar wilayah Xiengkhouang secara berkelompok di tempat yang berasingan dan dianggrkan lebih kurang 300 tempayan pada setiap kelompok yang dijumpai. Penyelidikan arkeologi telah dilaksanakan di beberapa tapak kelompok tersebut dan dikatakan bahawa 'Plain of Jars' merupakan tapak pengkebumian pada zaman gangsa dan zaman logam yang berusia sekitar 2,000 hingga 2,500 tahun yang lalu.


Minová pole v Laosu zabíjejí i po 50 letech | 100+1 zahraniční zajímavost

Gambar 7 : contoh tempayan batu gergasi yang terdapat di Laos 



5) Binaan Batu Bertigkat (Punden  Berundak) 

- Binaan Punden Berundak ini bukanlah dilihat sebagai binaan bangunan sebaliknya ia merupakan pengubahsuaian masyarakat setempat di Indonesia untuk membentuk struktur bertingkat dengan memotong lereng bukit seolah-olah membentuk tangga yang bersaiz besar. Persekitaran kawasan gunung ini seolah-olah menyerupai sebuah taman yang mengelilingi bukit kecil dengan susun atur batu yang membentuk tangga dan di puncaknya pula terdapat candi atau kuil kecil yang akan dijadikan tempat penyembahan dewa dan dewi. Bahan utama untuk membentuk binaan batu di lereng bukit ini adalah dengan menggunakan tanah dan batu pelbagai saiz. Ciri binaan Punden Berundak ini dikatakan sama dengan seni bina agung dunia seperti Piramid dan juga taman tergantung Babylon di Mesopotamia.


Berkas:Punden berundak pada taman.jpg - Wikipedia bahasa Indonesia,  ensiklopedia bebas

Gambar 8 : contoh binaan Punden Berundak yang terdapat di Indonesia 



6) Sakrofagus

- Sakrofagus dapat dikenali sebagai mangkuk bulat besar yang diperbuat daripada batu dan fungsinya pula adalah untuk menyimpan mayat. Bahagian luar Sakrofagus juga turut diberikan pelbagai corak dan ukiran yang dianggap mempunyai kaitan dengan kehidupan si mati ataupun ia menjadi lambang kepada kehidupan masyarakat pada waktu tersebut.


Ciri, Fungsi Dan Tempat Penemuan Sarkofagus - Idsejarah

Gambar 9 : contoh reka bentuk sakrofagus yang digunakan sebagai pemakaman mayat



7) Arca Batu 

- Pembinaan arca batu atau patung dikatakan merupakan salah satu kebudayaan megalith yang agak menarik untuk dikaji kerana arca batu biasanya akan digunakan dalam upacara penyembahan nenek moyang atau sebagai hiasan masyarakat setempat. Arca batu ini biasanya diukir dengan menggunakan pelbagai jenis ukiran dan kadang-kadang ukiran pada arca batu dibentuk seakan-akan rupa binatang seperti hariamu, gajah dan burung yang bertujuan untuk melambangkan semangat hutan. Pembuatan arca batu ini biasanya akan dipahat di setiap batu-batu yang dikatakan sudah mempunyai bentuk tertentu dan ia memudahkan urusan ukiran dilaksanakan. Malah bukan itu sahaja, dikatakan juga ada sesetengah arca batu yang dihasilkan mempunyai imej seakan-akan  manusia.


Situs Megalitik: Perbedaan Menhir, Dolmen, Sarkofagus, Waruga |  Gurugeografi.id

Gambar 10 : contoh arca batu yang berupakan manusia zaman kuno




KONSEP BATU MEGALITIK 



1) KONSEP BATU HIDUP 

- Kebudayaan Megalitik turut dikenali sebagai kebudayaan batu hidup. Konsep ini dikatakan dapat dilihat di Negeri Sembilan dan Melaka dimana masyarakat kuno di negeri tersebut beranggapan bahawa setiap bongkah batu yang dijumpai atau dihasilkan mempunyai nyawa dan roh yang tersendiri. Malah, dikatakan arca batu yang dihasilkan di Sumatera pula dikatakan telah diukir dengan menggunakan muka manusia yang ganas semata-mata bagi melambangkan simbol elemen kuasa ghaib atau elemen super natural yang wujud di alam. Batu Megalith yang dianggap hidup juga kadang-kadang dianggap sebagai batu sumpah khususnya dalam kalangan masyarakat tempatan di Sabah. Batu tersebut dikatakan berfungsi sebagai tempat suci untuk melafazkan ikrar dan juga janji dengan cara bersumpah. Tujuan utama ia dilakukan adalah untuk memastikan seseorang yang dipilih  untuk memimpin atau memerintah itu benar-benar orang yang adil dan benar. Kepercayaan kepada roh batu megalitik menyebabkan masyarakat kuno zaman megalitik mengagungkan batu-batu yang dihasilkan oleh mereka dan ada kalanya batu megalitik tersebut juga dipamerkan sebagai simbol kekeluargaan mereka.



2) KONSEP RITUAL DAN PEMUJAAN 

- Sepertimana yang kita ketahui, batu megalitik dan juga konsep ritual penyembahan tidak dapat dipisahkan perkaitannya. Batu megalitik terutama sekali Menhir dihasilkan semata-mata untuk tujuan penyembahan terutamanya kepada roh nenek moyang. Batu menhir dianggap akan mententeramkan roh nenek moyang dan seterusnya menjamin kesejahteraan hidup masyarakat yang menyembahnya. Batu jenis menhir juga dianggap akan lebih disembah sekiranya ia diperbuat khusus kepada orang yang mempunyai pangkat tinggi dalam masyarakat atas tanggapan ia memberi tuah kepada si penyembah dan turut bertindak sebagai pengiktirafan kepada roh si mati untuk membolehkan sumbangannya terus diingati oleh generasi masa hadapan. Malah dikatakan juga bahawa ada batu megalitik yang dihasilkan semata-mata atas tujuan pemujaan pertanian semata-mata untuk memastikan hasil tuaian sentiasa baik dan bertambah. Contohnya, upacara penyembahan benih padi yang disusun disekeliling batu menhir telah dilakukan semata-mata untuk memastikan hasil tuaian itu adalah berkualiti dan tidak dijangkiti sebarang penyakit seterusnya ia juga turut disertakan dengan upacara tahlil dan juga pembacaan mantera.


KEBUDAYAAN MEGALITH DI SEMENANJUNG MALAYSIA DARI PERSPEKTIF SOSIOBUDAYA DAN  ETNOARKEOLOGI - PDF Free Download

Gambar 11 : contoh upacara ritual yang dilakukan terhadap batu megalitik jenis menhir



3) KONSEP GOTONG ROYONG 

- Satu nilai sosial daripada kebudayaan megalitik yang dianggap kurang diketengahkan dalam kajian adalah wujudnya nilai kebersamaan dalam usaha pembuatannya. Sepertimana yang kita ketahui, batu megalitik biasanya bersaiz besar dan beratnya dianggarkan bertan dan hal ini sudah pasti memerlukan kerjasama yang menyeluruh daripada masyarakat setempat untuk menggerakkan batu tersebut dari satu tempat ke satu tempat yang lain dan hal ini memaparkan nilai kerjasama menerusi konsep gotong royong sama ada dalam proses pembuatan mahupun proses pengalihan batu tersebut secara bersama. Hasrat untuk membina batu megalitik juga pastinya akan dicadangkan oleh ketua suku atau ketua kampung yang mempunyai jawatan tinggi dan hal ini membolehkan arahan tersebut diterima dan seterusnya dilaksanakan secara bersama oleh masyarakat setempat. Contohnya, dalam kalangan masyarakat Kelabit pembinaan batu megalitik biasanya akan dilakukan secara bersama dan ia juga turut melibatkan bantuan daripada penduduk kampung lain. Dalam acara pembuatan batu megalitik juga disertakan Irau (Pesta) bagi menggalakkan masyarakat setempat dan masyarakat kampung lain untuk menyertainya dan seterusnya selepas pesta masyarakat akan bertungkus lumus secara bersama bagi menyiapakan binaan batu megalitik.


Nias Island – The Last Surviving Megalithic Culture - Crypto-Anthropologist

Gambar 12 : contoh aktiviti gotong-royong untuk mengalihkan batu megalitik 



4) KONSEP STATUS SOSIAL 

- Batu megalitik yang dibina juga turut menjadi simbol dan pengiktirafan kepada kelas masyarakat tertentu khasnya golongan pemimpin dan pemerintah. Masyarakat kuno pada zaman megalitik terutamanya golongan pemimpin beranggapan bahawa seni bina batu megalitik dengan ukuran yang besar akan melambangkan kehebatan dan keagungan seseorang individu itu dan hal ini juga akan membolehkan jasa seseorang pemimpin terus dihargai dan diingati sumbangannya dan ia secara tidak langsung turut memberi pengiktirafan kepada keluarga si mati. Contohnya, berdasarkan pemerhatian yang dilakukan di tapak megalitik Negeri Sembilan terutamanya di Taboh, Naning ia telah menunjukkan kebanyakkan batu megalitik telah dijumpai di dalam lot pemilik perumahan atau tuan tanah di kawasan perkampungan. Penemuan ini mengukuhkan lagi pendapat yang mengatakan bahawa batu megalitik sememangnya dibina untuk memaparkan status sosial seseorang individu khususunya golongan penting dalam masyarakat seperti ketua suku, ketua kampung, alim ulama dan juga golongan kerabat diraja.



5) KONSEP SIMBOL PENGHORMATAN 

- Penghormatan kepada binaan batu megalitik juga turut mendorong masyarakat untuk mengaitkannya dengan nama gelaran untuk seseorang. Gelaran seseorang tokoh tersebut biasanya akan dikaitkan dengan elemen kehebatan, keramat, magis dan sebagainya bagi menunjukkan penghargaan kepada tokoh yang telah mati atas sumbangan besar yang telah dilakukannya sama ada ke atas masyarakat yang dipimpin atau negeri yang dipimpin. Contohnya, kebudayaan megalitik yang terdapat di Negeri Sembilan dan Melaka ada yang disebut sebagai Datuk Tua, Datuk Nisan Tinggi, Datuk Serban Kuning dan sebagainya. Tamabahan lagi, contoh lain penggunaan gelaran kepada batu megalitik dapat dilihat di negeri Melaka apabila ada sesetengah batu megalitik digelar dan diberi nama bersempena tokoh tempatan seperti Nenek panjang, Nenek Limau, Nenek Timah, Datuk Bongsu, Datuk Maharajalela dan sebagainya. Gelaran yang diberikan oleh masyarakat tempatan terhadap batu megalitik ini menguatkan lagi unsur pemujaan atas tanggapan dan kepercayaan batu megalitik tersebut sangat berkuasa dan mempunyai semangat roh yang perlu ditenteramkan untuk menjamin keamanan dan keselamatan penduduk setempat.



KEBUDAYAAN MEGALITH DI SEMENANJUNG MALAYSIA DARI PERSPEKTIF SOSIOBUDAYA DAN  ETNOARKEOLOGI - PDF Free Download

Gambar 13 : contoh batu megalitik Nenek Panjang yang dijumpai di Pulau Sebang, Melaka


KESIMPULAN :

    Kesimpulannya, peradaban zaman megalitik merupakan satu tempoh peradaban dunia yang menarik untuk dikaji kerana peradaban megalitik yang dicirikan oleh pembuatan batu-batu bersaiz besar telah menjadi asas kepada kemunculan zaman logam yang seterusnya membawa hampir kepada zaman kemodenan manusia. Segala khazanah yang diperoleh daripada tinggalan zaman megalitik seharusnya diteladani dan diambil pengajaran oleh generasi muda walaupun zaman megalitik tersebut diwarnai dengan unsur bersifat khayalan dan dongeng namun kepentingan zaman megalitik dalam menyumbang kepada ketamadunan dunia tidak dapat disangkalkan lagi. Malah, zaman megalitik yang berlaku di dunia bukan sahaja meninggalkan tinggalan sejarah yang penting malah turut menjadi identiti peradaban masyarakat di sesebuah negara tersebut.



RUJUKAN UTAMA 

Adnan Jusoh, Yunus Sauman@ Sabin, Ruzairy Arbi & Zuliskandar Ramli, 'Kebudayaan Megalith di Semenanjung Malaysia dari Perspektif Sosiobudaya dan Etnoarkeologi', 'Jurnal Arkeologi Malaysia', No.1, Bil 31, 2018, hlm. 1-18.




Catatan Penulis Blog :

"Diharapkan apa yang cuba disampaikan oleh penulis blog ini, dapat memberi sedikit sebanyak panduan kepada generasi yang akan datang untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan dengan kemunculan zaman megalitik di dunia." Sekian terima kasih..................





No comments:

Post a Comment

KEBUDAYAAN ZAMAN MEGALITIK          Istilah megalitik dikatakan berasal daripada perkataan yunani kuno iaitu Mega (besar) dan juga Li...