Wednesday, 18 March 2020

DISCOVERY OF THE PERAK MAN IN MALAYSIA


PENGENALAN

     Perak Man merupakan rangka manusia zaman Paleolitik yang telah dijumpai di Gua Gunung Runtuh yang terletak di kampung Lenggong Ulu Perak dan dikatakan hidup dalam jangka masa 10,000 hingga 11,000 tahun lalu. Perak Man dikatakan hidup pada peringkat akhir zaman Paleolitik. Rangka tersebut dikatakan telah dijumpai di Gua Gunung Runtuh yang terletak di bahagian Timur Bukit Kepala Gajah dan ketinggian gua tersebut adalah lebih kurang 150 meter dari aras laut. Proses ekskavasi bagi penemuan rangka Perak Man dikatakan telah dijalankan pada bulan Mei dan Jun pada tahun 1990 dan kemudian diteruskan lagi pada tahun 1991 oleh sekumpulan ahli akademik dan pelajar arkeologi USM dan ia turut melibatkan tenaga teknikal daripada muzium negara bersama beberapa penduduk kampung yang tinggal berhampiran Gua Gunung Runtuh tersebut. Secara umumnya, Perak Man merupakan rangka tengkorak manusia Paleolitik yang dikatakan hampir sempurna yang pernah ditemui di Asia Tenggara. Perak Man merupakan kelompok manusia Australomelanesoid yang hidup berkumpulan dan aktiviti utamanya adalah berburu dan mumungut hasil hutan.


                                   


                                         GAMBAR 1 : TAPAK EKSKAVASI DI GUA GUNUNG RUNTUH, PERAK

Ekskavasi Rangka Perak Man :

          Semasa proses ekskavasi dijalankan di Gua Gunung Runtuh, para penyelidik telah menjumpai beberapa alatan tangan batu berhampiran dengan kawasan Perak Man dijumpai. Antara alatan yang dijumpai mereka adalah penukul, anvil, batu sungai, kapak tangan dan lain-lain lagi. Mengikut kajian yang telah dilakukan oleh ahli palaeoantropologist dan ahli antropologi terutama sekali Teuku Jacob dan Agus Soepriyo telah berjaya membuktikan satu kajian tentang penemuan Perak Man. Mereka telah mengesahkan bahawa Perak Man tergolong di bawah kelompok Australomelanesoid dengan berketinggian 157 cm dan Perak Man dianggarkan mati ketika berusia 40-45 tahun dan Perak Man juga merupakan manusia pra-sejarah pertama yang mengalami kecacatan genetik iaitu menyebabkan tangan kirinya agak pendek daripada tangan kanannya atau lebih dikenali dengan 'brachymesophalangia'. Manakala tengkorak Perak Man pula telah dikaji oleh Loh Hong Sai untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai umur ketika mati, jantina dan bentuk wajah Perak Man yang turut dikenalpasti dengan bantuan dua penyelidik yang telah disebutkan tadi. Kajian lanjut mengenai tengkorak dan tulang Perak Man telah diteruskan oleh Jamaludin dan Nazalan yang membawa kesimpualan bahawa Perak Man mempunyai sikap suka berjongkok dalam tempoh yang lama sejak dari awal peringkat kehidupannya. Perak Man menderita penyakit sakit lutut yang lama dan ia tidak membolehkan Perak Man berjalan untuk suatu tempoh yang lama. Tambahan lagi, bagi kawasan pengebumian Perak Man pula telah disiasat oleh Zuraina di mana beliau telah menjumpai satu perkuburan ritual keagamaan yang dikelilingi oleh barang-barang penyembahan pada zaman dahulu.


   

                    GAMBAR 2 : RANGKA PERAK MAN YANG DIPAMERKAN DI MUZIUM LENGGONG, PERAK


           Rangka manusia Pra-sejarah Perak Man juga dikatakan telah dijumpai dalam jarak 6 meter dari pintu Gua Gunung Runtuh dan kedudukannya adalah dalam keadaan Foetal Position. Mengikut kajian Zuraina Majid juga, beliau berpendapat rangka manusia Perak Man merupakan rangka manusia epi-paleolitik yang paling lama telah dijumpai berbanding dengan rangka manusia zaman paleolitik lain yang pernah dijumpai di Asia Tenggara. Di samping penemuan rangka Perak Man di Gua Gunung Runtuh, terdapat juga beberapa gua lain yang berhampiran kawasan Gua Gunung Runtuh  turut merekodkan penemuan rangka manusia prasejarah paleolitik seperti penemuan rangka manusia yang berjantina wanita dalam lingkungan 20 tahun di Gua Kajang yang telah diemui oleh pakar arkeologi luar negara iaitu Evans (1918) dan Duckworth (1934). Terdapat juga beberapa contoh gua lain yang turut mencatatkan penemuan rangka manusia seperti Gua Kerbau dan Gua Kepah. Segala penemuan ini telah membuktikan bahawa kawasan daerah lenggong Perak dapat dikatakan telah menjadi kawasan petempatan awal manusia Pra-sejarah terutama sekali pada era Paleoltik sekitar tempoh 40,000 tahun yang lalu. Tambahan lagi tengkorak manusia yang dijumpai di Gua Kajang, Gua Kerbau dan Gua Kepah juga dikenalpasti mempunyai sejarah kebudayaan yang sama dengan manusia Perak Man yang dijumpai di Gua Gunung Runtuh, Perak. Dalam menjalani kehidupan harian, kesemua manusia pra-sejarah tersebut dikatakan telah menggunakan alatan pra-ceramic atau lebih dikenali sebagai alatan batu "Sumatralith", kapak batu dan alat repihan. Penggunaan alatan batu tersebut adalah lebih lazim digelar sebagai zaman "Hoabinhian".



                                  GAMBAR 3 : CONTOH KAWASAN PELVIS DAN GIGI PERAK MAN

               Sepertimana yang kita sedia maklum, rangka manusia Perak Man telah dijumpai pada tahun 1900 dan berjaya dikeluarkan  sepenuhnya pada tahun 1991. Gambaran dan petunjuk pertama tentang kewujudan rangka Perak Man di kawasan Gua Gunung Runtuh dapat dikenalpasti apabila terdapatnya timbulan tulang rangka panjang dan sebahagian tengkorak manusia (60-70cm) dan direkodkan juga penemuan tulang rangka secara sepenuhnya dapat dikesan apabila tulang rangka tersebut berjaya dikeluarkan dan diukur untuk mengenalpasti panjangnya lebih kurang (90-100cm). Setelah dikenalpasti rangka tulang Perak Man, ternyata Perak Man dikebumikan dalam bentuk "Foetal position" dalam sebuah parit tanah yang panjangnya lebih kurang 70 cm dan dikatakan juga bentuk "Foetal position" tersebut adalah digambarkan dalam bentuk anak dalam kandungan dan ia menyebabkan sesetengah ahli arkeologi berpendapat ia menandakan kepercayaan masyarakat dahulu tentang kehidupan selepas mati dan ia dibuktikan apabila rangka Perak Man ditemui, kawasan makam perkuburannya dijumpai beberapa barangan alatan batu yang ditanam sekali berhampirannya. Keadaan geografi dalaman Gua Gunung Runtuh yang berada pada kedudukan horizontol menegak juga menjadikan rangka Perak Man mudah dikesan oleh ahli arkeologi.



                Gambar 4 : Rangka Perak Man yang berada pada kedudukan "Foetal Position"


              Jenis jantina Perak Man juga dapat dikenalpasti sebagai seorang lelaki dewasa apabila kajian yang menyeluruh telah dilakukan ke atas lingkungan pelvis, tulang belakang dan juga bahagian tengkoraknya. Tarikh kematian Perak Man juga dianggarkan dalam lingkungan 40-55 tahun namun menurut pandangan Teuku Jacob pula rangka tersebut adalah berusia 40-45 tahun. Berdasarkan garisan menegak dan melintang kawasan perkuburan Perak Man, para ahli arkeologi turut menemui alatan batu dan barangan lain pada kedudukan yang sama dengan rangka Perak Man. Melalui jumpaan tersebut, telah dibuktikan bahawa Perak Man telah dikebumikan bersama bahan makanan, cengkerang siput dan juga beberapa alatan batu yang digunakan untuk berburu dan keguaaan seharian. Secara keseluruhannya terdapat lebih kurang 10 artifak batu yang dijumpai di perkuburan Perak Man iaitu meliputi 3 penukul batu, 3 kapak genggam, 1 batu sungai dan juga 4 alatan batu yang mempunyai pelbagai fungsi telah ditemui. Di samping penemuan rangka Perak Man terdapat juga penemuan rangka binatang yang beratnya dianggarkan lebih kurang 1.261 Kgs  yang tertanam berhampiran perkuburan Perak Man dan dikatakan hampir 90% tulang binatang tersebut sukar dikenalpasti spesiesnya sehingga hari ini.


Ritual Pengkebumian :

      Mengikut kajian yang telah dilakukan oleh ahli arkeologi, Perak Man sebenarnya tidak dtinggalkan begitu sahaja semasa ia mati malah, diktakan sukunya telah melakukan satu upacara pengkebumian yang khusus kepada Perak Man. Dari segi binaan makam Perak Man telah dapat dibuktikan bahawa terdapat banyak ruang di sekelilingnya telah diisi dengan pelbagai jensi alatan batu dan terdapat juga tinggalan sisa makanan di bawah dan sebelah badannya. Kajian juga turut menemukan bahawa terdapat lebih kurang 3,000 cengkerang sungai yang dapat dikumpul dan para ahli arkeologi juga membuat andaian yang berasas bahawa terdapat 5 jenis daging haiwan yang ditanam ataupun mati di dalam gua tersebut dan antaranya adalah monyet, khinzir, biawak, kura-kura dan juga rusa. Seterusnya, muka Perak Man juga dikatakan berada pada kedudukan yang condong ke sebelah kanan dan tubuh badannya juga turut diselaputi cengkerang sungai yang besar dan di bahagian bawah dan sekitar badannya terdapat pelbagai alatan batu kepunyaannya dan juga daging-daging haiwan yang ditanam sekali. Penyediaan cengkerang sungai sebanyak 2,878 biji diikuti dengan penemuan daging telah menunjukkan usaha puak Perak Man untuk menjayakan proses pengebumian yang penuh ritual kepercayaan ini. Secara ringkasnya, tidak dapat dibuktikan sama ada benar Perak Man mati akibat diseksa tetapi ahli arkeologi percaya Perak Man mati kerana sakit tua ataupun kerana kecacatan fizikal yang dialaminya sepanjang beliau hidup untuk tempoh sehingga 45 tahun. Walaupun Perak Man mati di usia yang awal namun ia telah menunjukkan kepada kita bahawa Perak Man merupakan manusia zaman Paleolitik yang mempunyai pengetahuan yang luas untuk terus hidup, berburu dan berkumpul sebagai satu puak manusia era Paleolitik peringkat akhir.


           GAMBAR 5 : CONTOH RITUAL PENGKEBUMIAN PERAK MAN DENGAN "FOETAL POSITION"


Pendekatan DNA Perak Man :

           Lapangan ilmu seperti geoglogi, kimia organik, biokimia, imunologi dan pelbagai cabang ilmu lain dikatakan amat penting dalam usaha untuk membantu usaha-usaha pengkajian sejarah rangka Perak Man di Gua Gunung Runtuh. Kajian biokimia merupakan kajian yang amat sukar dilakukan ke atas mana-mana rangka manusia termasuklah rangka Perak Man kerana ia melibatkan anggaran rahun dan proses saintifik yang panjang untuk mengenalpasti umur atau sel tengkorak manusia tersebut. Semua hidupan mengandungi "biochemical polymers" yang penting bagi menunjukkan terdapatnya proses kehidupan harian. Polimer tersebut biasanya mengandungi protein, asid molekul, karbohidrat, lemak dan molekul kompleks yang lain.


Lapisan tanah Gua Gunung Runtuh :

       Jenis lapisan tanah yang berbentuk morphologikal dan micromorphologikal yang terdapat di dalam Gua Gunung Runtuh adalah berbeza dari tanah yang terdapat pada daratan kerana tanah di Gua Gunung Runtuh adalah dipengaruhi oleh interaksi fauna terutama sekali najis kelawar yang menyebabkan berlakunya peningkatan jumlah tanah organik dan seterusnya mampu mengubah struktur tanah di gua tersebut. Aktiviti manusia di gua tersebut untuk tempoh yang lama juga akan turut berubah bersama tanah tersebut. Penambahan terhadap kandungan mineral dan bahan organik juga turut mempengaruhi keadaan rangka Perak Man untuk satu tempoh yang lama.


     
          GAMBAR 6 : CONTOH LUKISAN BATU YANG TERDAPAT DI GUA GUNUNG RUNTUH



KESIMPULAN : 

          Kesimpulannya, penemuan rangka Perak Man di Gua Gunung Runtuh di Ulu Lenggong Perak menandakan tentang permulaan bagi petempatan manusia awal zaman Paleolitik. Penemuan tersebut telah memberi impak positif kepada bidang arkeologi negara dan seterusnya membuktikan kepada dunia luar tentang kekayaan khazanah sejarah yang dimiliki oleh negara kita yang sepatutnya dihargai, dipelajari dan dikekalkan kewujudannya untuk tatapan generasi akan datang.



Sekian Terima Kasih, diharapkan blog ini dapat memberi lebih maklumat kepada pembaca dan penulisnya sendiri........................
     








No comments:

Post a Comment

KEBUDAYAAN ZAMAN MEGALITIK          Istilah megalitik dikatakan berasal daripada perkataan yunani kuno iaitu Mega (besar) dan juga Li...